Friday, February 26, 2010

Sayangilah kanak-kanak...



Sumber berita harian

Syafia Humairah Sahari, 3, ditampar, disepak teman lelaki ibu

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di kediaman mereka, di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam kelmarin.

Syafia Humairah Sahari dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru (HKKB) ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya, berkata lelaki berusia 28 tahun bersama rakannya melarikan diri sejurus jururawat bertanya maklumat terperinci mengenai kanak-kanak berkenaan.

"Ketika dihampiri jururawat, dia mendakwa perlu bergegas ke balai polis untuk membuat laporan kemalangan itu. Kira-kira jam 11 malam, polis dimaklumkan oleh pihak hospital dan meminta menyiasat secara terperinci kerana mengesyaki berlaku penderaan selepas melihat kanak-kanak berkenaan mempunyai banyak kesan luka dan lebam.

"Polis menjalankan siasatan berhubung kemalangan seperti yang dimaklumkan, namun tiada sebarang laporan mengenai kemalangan membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun," katanya semalam.

Norel Azmi berkata, pemeriksaan awal hospital mendapati ada tanda-tanda kecederaan dipercayai dipukul menggunakan objek tajam.

"Berdasarkan kecederaan, penderaan dipercayai baru dilakukan dan mangsa mengalami pendarahan dalaman sehingga menyebabkan kematian.

"Kira-kira jam 3 pagi, polis menahan teman lelaki ibu mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi untuk siasatan. Hasil soal siasat, suspek mengaku mencederakan kanak-kanak itu dengan menampar dan menyepak mangsa," katanya.

Beliau berkata, polis turut menahan untuk soal siasat ibu mangsa, seorang ibu tunggal berusia 20-an selepas suspek mendakwa ia dilakukan bersama teman wanitanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, bapa suspek enggan mengulas mengenai kejadian itu dan akan memberi keterangannya kepada polis apabila diperlukan.

Menurut saksi yang enggan dikenali, sebelum kejadian, suspek ke padang berdekatan untuk bermain bola dengan membawa mangsa bersamanya.

Ketika sedang bermain bola, kanak-kanak itu menangis dan suspek pergi ke arahnya lalu menyerang kanak-kanak itu.

Orang ramai meleraikannya sebelum mengangkat kanak-kanak itu ke dalam teksi milik suspek dan membawanya ke hospital.


Sayangilah kanak-kanak..janganlah di dera sehingga jadi begini.Simpati sungguh dan sgt menyayat hati di dera sebegitu rupa.Tak dapat dibayangkan..teringat anak2 di taska.Sememangnya dunia kanak-kanak ingin bermain dan sifat ingin mengetahui,kita lah yang mendidik, mengasuh dan bermain bersama mereka.

0 comments:


Blogspot Templates by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by Modern Home Designs